Saturday, October 20, 2007

rEaLiTi sEbUaH kEhIdUpAn...

Untuk menyelami kegetiran hidup, berkongsi pengalaman yang dihadapi oleh mangsa banjir kami pelajar dari Sains Pembangunan di bawah subjek Demografi dan Pembangunan: Pensyarah Puan Marsitah Md Radzi, kami telah menjalankan kajian di Kota Tinggi, Johor selama 3 hari 2 malam. Antara kampung yang menjadi kawasan tumpuan ialah Kampung Kelatan, Kampung Tembioh, dan taman perumahan yang berhampiran.

Kumpulan kami membuat kajian berkaitan Adaptasi Penduduk Terhadap Persekitaran Fizikal Setelah Banjir . Kami menjalankan temubual mendalam dengan beberapa orang responden di Kampung Tembioh. Kami juga menjalankan pemerhatian di kawasan Kampung Kelantan untuk melihat kesan-kesan impak dari banjir ke atas kawasan fizikal. Objektif kajian kami adalah untuk:

i) Mengkaji bagaimana penduduk menyesuaikan diri dengan keadaan
persekitaran fizikal yang berubah selepas banjir.
ii) Mengkaji perubahan fizikal diri individu yang dialami akibat banjir.
iii) Meneliti perancangan masa hadapan bagi memperbaiki kehidupan mereka

selepas banjir.

Berikut merupakan hasil kajian kami melalui temubual intensif dengan beberapa orang responden di Kampung Tembioh.

RESPONDEN 1

Pak cik. Azman 46 tahun pekerja Sawmell. Menetap di Kampung Tembioh selama 36 tahun bersama isteri, ibu dan seorang anak. Mempunyai sebuah rumah papan yang sederhana untuk berteduh hujan dan panas. Dengan pendapatan RM 500 sebulan Pak cik Azman terpaksa menampung 3 orang tanggungan. Walaubagaimanapun beliau tidak pernah mengeluh dengan nasib yang menimpa dirinya. Namun kesempitan hidup yang dialaminya bertambah perit setelah BAH melanda Kota Tinggi.

’Beginilah kehidupan kami sekarang, kami hanya menanti dengan penuh harapan...’ begitulah luahan hati Pak cik Azman. Kini Pak cik Azman sekeluarga terpaksa berteduh dalam rumah mereka yang telah DIHANYUTKAN oleh banjir. Keadaan rumah itu agak daif dan ianya sekadar sesuai diduduki buat sementara waktu. Namun setelah 8 bulan berlalu dari peristiwa hitam itu Pak cik Azman masih tetap menduduki rumah hanyut itu.

Akibat banjir yang melanda rumah Pak cik Azman telah hanyut beberapa meter daripada tapak asal. Dan kini rumah tersebut hanyut di atas tanah orang lain. Pada asalnya keadaan rumah yang hanyut itu amat memilukan. Keadaannya bukan lagi sebuah rumah hanya terdapat rangka rumah yang binasa. Namun Pak cik Azman sekeluarga hanya memepunyai sebuah rumah itu untuk berteduh. Akhirnya, Pak cik Azman memohon ihsan tuan tanah untuk memperbaiki rumahnya di kawasan tanah tersebut buat sementara waktu. Atas belas ihsan akhirnya terbina juga sebuah pondok.

Sehingga hari ini Pak cik Azman masih menanti bantuan daripada pihak terbabit untuk memberi bantuan bagi membina semula rumahnya di tapak asal.

Pihak SPNB pada awalnya telah memberi persetujuan untuk membina semula rumah Pak cik Azman tetapi sehingga hari ini tiada tindak balas daripada pihak berkenaan. Bukannya Pak cik Azman tidak berusaha sendiri untuk mendirikan rumah namun kesempitan hidup dengan kerugian sebanyak RM16,000 yang dialaminya menyebabkan Pak cik Azman mengharapkan bantuan. Kini Pak cik Azman membiasakan diri dengan keadaan rumah yang agak sempit dengan keadaan persekitaran di sekeliling rumah penuh dengan semak samun.

Tapak asal rumah Pandangan depan rumah



RESPONDEN 2


Responden kedua ini merupakan tuan tanah di mana rumah Pak cik Azman dihanyutkan. Beliau telah menetap selama 20 tahun di Kampung Tembioh. Pak cik Ramli, 50 tahun bekerja sebagai penyelia selenggara dan menampung tanggungan seramai 7 orang. Pak cik Ramli mengalami anggaran kerugian sebanyak RM 15,000 di samping impak yang ketara dalam kehidupan Pak cik Ramli ialah di mana isterinya mengalami STROKE.

Bagi Pak cik Ramli kerugian yang dialaminya mungkin hanya bersifat sementara, kemusnahan dan kerosakan harta benda boleh diusahakan kembali namun musibbah yang menimpa isterinya merupakan suatu ujian yang amat hebat dalam kehidupan mereka sekeluarga. Terlalu sukar untuk mengembalikan keyakinan diri isteri Pak cik Ramli.

Namun, akhirnya isteri Pak cik Ramli kembali bersemangat untuk menempuh kehidupan barunya walaupun kini dia lumpuh separuh badan. Pak cik Ramli bersama anak-anaknya tidak pernah berputus asa untuk memberikan dorongan. Kini isteri Pak cik Ramli menggunakan kerusi roda untuk memudahkan pergerakan di samping di bantu oleh anak-anaknya.

"Mak cik dah tak boleh jalan...anak-anak je lah yang selalu bantu mak cik menguruskan diri, sampai bilalah keadaan mak cik ni".

Begitulah perubahan yang amat besar terjadi dalam kehidupan keluarga Pak cik Ramli akibat banjir yang melanda. Menurut Pak cik Ramli, dia bercadang jika mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk mengubah suai rumahnya menjadi bertingkat.

Di sini dapat kita lihat BANJIR bukan sahaja mendatangkan ancaman terhadap kemusnahan secara fizikal seperti harta benda, tempat tinggal namun ia juga mampu mengubah seluruh kehidupan.

RESPONDEN 3


Responden ketiga iaitu Mak cik Salmah, 43 tahun. Telah menetap selama 26 tahun di Kampung Tembioh. Bagi Mak cik Salmah kerugian yang dialami dalam RM 5000. Mak cik Salmah banyak mengalami kerugian dari segi kemusnahan harta benda. Adaptasi kehidupan keluarga Mak cik Salmah setelah banjir ialah sentiasa berhati-hati dalam setiap masa. Apabila cuaca mendung awan berarak gelap Mak cik Salmah akan terimbas peristiwa pahit yang melanda Kota Tinggi. Mak cik Salmah trauma apabila melihat keadaan sekitar menjadi mendung.

Untuk mengembalikan segala kerosakan dan kemusnahan yang dialami Mak cik Salmah sekeluarga terpaksa berhempas pulas mencari sumber dana bagi mengganti segala kerosakan tersebut. Mak cik Salmah bersyukur kerana anak-anaknya turut bekerjasama dalam mendapatkan sumber pendapatan. Menurut Mak cik Salmah terdapat keluarga yang terpaksa menanggung hutang beribu-ribu untuk mengembalikan dan meneruskan aktiviti seharian. Kini, Mak cik Salmah sekeluarga hanya membeli peralatan seperti perabot rumah hanya jika perlu.
"Mak cik sekeluarga terpaksa mencari sumber yang lebih supaya aktiviti seharian berjalan lancar dan sekarang ni kenalah berjimat cermat...".
Perancangan untuk jangka panjang sama seperti Pak cik Ramli iaitu membina rumah dua tingkat. Hal ini bertujuan agar apabila banjir melanda sekurang-kurangnya mereka masih boleh menyelamatkan harta benda.
RESPONDEN 4

Pak cik Ismail,52 tahun merupakan pekerja di Majlis Perbandaran Kota Tinggi di Unit Landskap. Menurut Pak cik Ismail beliau menganggarkan kerugian yang dialami sebanyak RM 20,000. Jika sebelum ini keadaan sekeliling rumah Pak cik Ismail dihiasi dengan sebuah taman landskap yang amat indah. Namun akibat banjir segala-galanya telah musnah. Kini Pak Ismail telah berputih mata untuk membina semula taman mini di hadapan rumahnya. "Sekarang ni Pak cik dah tak peduli nak hias, nak cantikkan halaman rumah ni..cukuplah dengan apa yang ada ni. Pak cik takut bila bina semula banjir datang lagi."

.........................................................................
Secara tuntasnya, bencana banjir di Kota Tinggi memberikan 1001 kenangan pahit dalam kehidupan mereka. Hampir keseluruhan mangsa banjir kehilangan self-esteem dalam diri mereka. Walaupun mengalami kerugian berpuluh-puluh ribu mereka tetap berusaha untuk mengadaptasikan kehidupan mereka dengan persekitaran yang baru. Perubahan keadaan fizikal merupakan perkara utamayang dapat dilihat. Kerosakan rumah, kemusnahan harta benda, kecacatan fizikal yang dialami tidak menjadi penghalang untuk mereka meneruskan perjuangan. Malah mereka bangkit dengan semangat baru dan memikirkan alternatif yang jitu bagi membuat persediaan untuk menghadapi musibbah yang tidak dijangkakan akan menimpa mereka.

No comments: